Tuesday, May 11, 2021

Bunuh rakan sekerja, sumbatkan  mayat di dalam tong sampah

Mesti baca

SUBANG JAYA: Akibat sering dibuli di tempat kerja, seorang lelaki bertindak mengajak beberapa individu untuk membunuh rakan sekerjanya di sebuah pangsapuri di Jalan Kemajuan, Subang di sini, Ahad lepas.

Bernama melaporkan mayat mangsa, seorang lelaki tempatan berumur 20 tahun, ditemukan berbungkus dengan plastik hitam  di dalam sebuah tong sampah yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kehilangan mangsa hanya disedari ibu saudaranya apabila tidak menerima panggilan telefon seperti kebiasaan yang menyatakan dia telah pulang daripada bekerja pada Isnin.

“Ibu saudara mangsa kemudian menghubungi majikan mangsa dan diberitahu bahawa mangsa tidak hadir bekerja. Ekoran itu, polis membuat pemeriksaan di kediaman mangsa dan mendapati ia berselerak selain terdapat kesan tompok darah dalam tandas.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup di pangsapuri itu mendapati tiga lelaki memasuki rumah mangsa pada 12 tengah malam sebelum mangsa pulang setengah jam kemudian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini seperti dipetik Bernama.

Rakaman itu seterusnya menunjukkan ketiga-tiga lelaki keluar dari rumah mangsa dengan menolak sebuah tong sampah.

Polis kemudian menemui dokumen peribadi dan dompet mangsa di bawah jejambat di Jalan SS 16/1 sebelum menjumpai sebuah tong sampah di kawasan berhampiran jalan itu.

“Pemeriksaan pada tong sampah itu mendapati sebuah beg hitam yang di dalamnya dipercayai ada mayat. Pasukan forensik mengesahkan penemuan itu adalah mayat manusia,” katanya.

Susulan penemuan itu, polis telah melakukan tangkapan di empat lokasi pada Isnin iaitu dua di sekitar ibu negara, Kajang di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan yang melibatkan empat suspek lelaki berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun.

“Ujian air kencing kesemua mereka didapati negatif dadah dan siasatan lanjut mendapati suspek utama merupakan rakan serumah dan rakan sekerja kepada mangsa,” katanya.

Suspek pertama direman selama empat hari hingga Jumaat ini manakala tiga lagi termasuk suspek utama direman enam hari hingga 26 April di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Secara Rawak

Artikel Terbaru