Wednesday, September 22, 2021

ADUN Batu Kitang sumbang makanan di Kampung Haji Baki

Mesti baca

KUCHING: Prihatin dengan nasib beberapa keluarga yang dikuarantin di beberapa kampung di konstituensinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang dan Pengerusi Persatuan Penggerak Kota Padawan Albert Lee Joon Hee telah mengagihkan bantuan makanan kepada keluarga yang terbabit.

Lo Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memberitahu, beliau telah menerima laporan daripada Ketua Kampung Haji Baki, Kampung Bumbok dan Landeh bahawa sebanyak 30 rumah iaitu 26 rumah dari Kampung Haji Baki, dua rumah dari RPR Taman Landeh, sebuah rumah dari Kampung Batu Perak dan sebuah lagi dari Kampung Bumbok telah dikuarantin sendiri selama 14 hari apabila mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19.

“Ketua kampung telah melaporkan bahawa 30 keluarga telah dikenakan kuarantin sendiri selama 14 hari.

“Mereka diperintahkan untuk kuarantin sendiri di rumah apabila mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 baru -baru ini,” katanya semasa ditemui dalam Program Penyerahan Sumbangan Bahan Makanan Kering di Kampung Haji Baki pada Ahad.

Tambah beliau, sumbangan makanan tersebut adalah daripada Sarawak Hun Nam Siang Tng, Persatuan NGO Bahagian Kuching serta beberapa individu yang menderma.

Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk setempat untuk sentiasa berhati-hati dengan menjaga kesihatan dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Secara Rawak

Artikel Terbaru