Monday, August 2, 2021

Ada ruangkah untuk Bersatu di Sarawak?

Mesti baca

AHLI Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Zuraida Kamaruddin tiba-tiba meledakkan ‘bom politik’ ketika mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak pada Ahad lalu. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menyatakan bahawa calon Bersatu akan bertanding atas tiket GPS dalam PRN-12. Ini merupakan satu kenyataan yang provokatif. Tentu banyak pihak yang tersentak. Apakah motif dan agenda beliau berbuat demikian? Adakah hendak menguji GPS?

Bom politik berkenaan yang diletupkan oleh bekas pemimpin PKR yang melompat menyertai Bersatu itu tentu mengejutkan semua pihak dalam GPS. Mereka tentu hairan mengapa Zuraida cakap sedap mulut dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemimpin wanita yang lantang ini bagai tertinggal beduk dan tidak sedar akan apa-apa yang dizahirkan oleh ‘boss’ beliau ketika berada di Kuching awal bulan ini. Muhyiddin dalam lawatan rasmi ke Sarawak pada awal bulan ini menegaskan kemenangan besar GPS selaku rakan PN pada PRN ke-12 adalah lebih penting berbanding peruntukan kerusi untuk Bersatu.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata sama ada parti itu akan diberikan kerusi untuk ditandingi pada PRN tersebut merupakan soal kedua. Implikasnya, Bersatu tidak kisah walaupun tidak diberi kerusi untuk bertanding!

Perdana Menteri berkata hasrat Bersatu selaku rakan seperjuangan dalam parti yang berjuang atas kefahaman yang sama ialah memastikan sokongan padu pengundi terhadap GPS agar ia dapat membentuk semula kerajaan negeri dengan sokongan lebih banyak kerusi DUN.

Maksudnya, soal Bersatu diberi kerusi untuk bertanding tidak timbul sama sekali kerana yang jauh lebih penting adalah memastikan GPS meraih kemenangan besar. Musuh Bersatu di Sarawak bukan GPS, tetapi PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

Persoalannya, adakah GPS akan memberikan lampu hijau atau bersedia berunding kepada parti itu untuk bertanding di Sarawak? Atau GPS yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP tidak akan berganjak dengan pendiriannya untuk tidak membuka pintu kepada Bersatu?

Tindakan membenarkan calon Bersatu bertanding atas tiket GPS membawa implikasi dan kesan besar kepada senario politik di negeri ini, selain kepada GPS sendiri. Sedangkan, GPS bertekad untuk bertanding di kesemua 82 kerusi DUN dalam PRN-12.

Hakikatnya, kalau GPS memberi ruang kepada Bersatu, hal ini bermakna gabungan itu mengiktiraf kewujudan Bersatu sebagai rakan gabungan. Bagi meletakkan isu dan perbincangan ini dalam perspektif yang betul, kita perlu kembali kepada bagaimana Kerajaan PN dibentuk di peringkat persekutuan pada Mac 2020.

Ketika PH tumbang gara-gara tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, maka Bersatu, Umno, dan Pas dengan sokongan GPS berjaya membentuk kerajaan PN.

Ketika itu, GPS bertindak sebagai ‘kingmaker’ sehingga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen merayu agar GPS memberi sokongan terhadap PH. Namun, demi kestabilan politik, dan sikap DAP yang angkuh sebelumnya, maka GPS tidak kisah dengan rayuan dan pujukan DAP.

Sebaliknya, GPS di bawah kepimpinan Datu Patinggi Abang Johari Tun Openg menghulurkan tangan kepada PN untuk membentuk kerajaan sehingga akhirnya DAP dan PH kempunan dan kecundang, lebih-lebih lagi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah berangan-angan menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Percayalah GPS tidak akan memberi peluang kepada calon Bersatu untuk bertanding atas tiket GPS. Bersatu bukan parti komponen GPS. Dan jika GPS membenarkan perkara itu berlaku, ini akan menyulitkan lagi hubungan dalam kalangan sesama anggota GPS.

Berbuat demikian bermaksud, mana-mana parti komponen gabungan perlu berkorban dari segi jumlah kerusi yang ditandingi nanti. Parti mana yang bersedia berbuat demikian?

Tidak ada mana-mana parti yang bersedia untuk lepaskan kerusi masing-masing apatah lagi kepada parti yang bukan komponen. Jadi, Bersatu tidak perlulah berangan-angan untuk bertanding atas tiket GPS

Beberapa hari lalu Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa calon yang bertanding dalam PRN Sarawak nanti hanya terdiri daripada komponen GPS.

Bersatu tidak perlu bermimpi pada siang hari. Hakikatnya, GPS telah mengenal pasti kesemua calon 82 kerusi Dewan Undangan Negeri. Justeru, tiada lagi ruang langsung untuk calon Bersatu bertanding menggunakan logo GPS.

Apakah yang akan berlaku jika GPS tidak membuka laluan dan ruang kepada Bersatu? Adakah Bersatu akan mengambil keputusan drastik dengan menentang calon GPS di Sarawak terutama di kerusi terbabit? Segala kemungkinan dapat berlaku. Mungkinkah satu kompromi atau formula menang-menang akan dicapai?

Atau adakah Bersatu bersedia untuk mendiamkan diri, dengan tidak meletakkan calon, sebaliknya, seperti dizahirkan, akan menyokong GPS demi memastikan kemenangannya? Isu ini bukan mudah dileraikan, dan menarik untuk terus dijejaki perkembangannya menjelang PRN nanti.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru