Tuesday, May 11, 2021

Iklan Judi Raya: Ambil tindakan terhadap syarikat terbabit

Mesti baca

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan segera terhadap video lagu raya yang diterbitkan oleh syarikat judi yang telah mencetuskan kontroversi.

Menurut Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad, video berdurasi dua minit itu jelas mengajak kepada orang beragama Islam berjudi dan bergantung nasib dengan syarikat tersebut.

“Perkara ini telah melanggar Enakmen Jenayah Syariah yang menjadi kesalahan umat Islam terlibat dengan aktiviti perjudian yang mencemarkan institusi agama” katanya dalam satu kenyataan.

“Pas kecewa penghinaan terhadap Islam terus berlaku saban hari. Belum reda isu majikan memukul pekerja disebabkan puasa, kini penghinaan kepada kemuliaan perayaan umat Islam pula,” katanya.

Beliau berkata, Aidilfitri ialah tanda kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa bagi tujuan meraih takwa daripada Allah   SWT dan bukannya suatu perkara kecil yang boleh dicampuradukkan dosa pahala dengan aktiviti perjudian yang sememangnya mendapat murka-Nya.

“Oleh itu, Pas menggesa agar PDRM menahan dan menyiasat pemilik dan barisan pelakon video tersebut seterusnya mengenakan tindakan tegas. Perkara ini mesti dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar memelihara kesucian agama Islam,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon iklan kontroversi Hari Raya yang tular pada Jumaat, tampil membuat penjelasan dan mengakui dia serta pelakon-pelakon lain yang terlibat, tidak tahu iklan itu dikaitkan dengan aktiviti judi.

Menurut mStar, Saifullah Mohd Yunus dia hanya mengetahui iklan terbabit mempromosikan perjudian dalam talian selepas 70 peratus proses penggambaran selesai.

Secara Rawak

Artikel Terbaru