Tuesday, May 11, 2021

Penganggur genggam dadah kantoi

Mesti baca

BAU: Seorang penganggur kantoi akibat cemas, menyebabkan polis ternampak dadah yang digenggamnya ketika diperiksa di Jalan Sitalan Kampung Jagoi Duyoh di sini kira-kira jam 1.40 petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata ketika diperiksa, lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Jagoi Duyoh itu cuba menyembunyikan syabu dengan menggenggamnya.

“Semasa pemeriksaan sedang dibuat ke atas badan suspek yang dalam keadaan cemas, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau kemudian ternampak dia menggenggam sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Apabila diperiksa, didapati satu paket berisi dadah jenis syabu di tangannya yang dianggarkan seberat 0.51 gram dengan nilai RM50,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya suspek yang ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Susulan itu, Poge berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau akan dipohon reman untuk siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya sabit kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan diperintahkan menjalani pengawasan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru