Saturday, May 8, 2021

Gian hidu baunya, lelaki curi 20 kasut wanita

Mesti baca

TOKYO: Hiroaki Katsu, 33, berasal dari Kota Nagakute di Aichi, ditangkap atas tuduhan mencuri.

Menurut penyiasat, lelaki itu mempunyai sekitar 20 pasang kasut wanita di rumahnya, yang terdiri daripada pelbagai jenis, bentuk dan jenama.

Penangkapan itu berlaku setelah Katsu disyaki menukar sepasang kasut bernilai kira-kira 5,000 yen (RM189) milik guru wanita berusia 23 tahun di sekolah muzik Nagoya.

Kejadian berlaku kira-kira 10:50 pagi pada 30 Januari, tetapi guru itu hanya menyedari sesuatu yang pelik ketika dia memakai kasutnya.

Kasut yang dipakainya untuk bekerja sudah koyak teruk, justeru dia hairan melihat kasut yang baru dipakainya masih baik dan kelihatan baharu.

Wanita itu menghubungi polis dan mengadu kasutnya tertukar. Hasil siasatan terperinci polis berjaya menjejaki Katsu dan dia juga mengaku perbuatannya.

Awalnya Katsu hanya ditahan kerana mencuri kasut guru terbabit, tetapi hasil serbuan di kediamannya polis menemui koleksi kasut yang dipercayai milik wanita berbeza.

Apabila disoal siasat, dia mengaku mencuri kasut-kasut tersebut.

“Saya mahu mencium bau kasut wanita,” katanya.

Menurut Japan Today, polis percaya jenayahnya dirancang kerana Katsu sudah menyediakan kasut lain menggantikan kasut yang hendak dicurinya.

Polis menyiasat jenis tuduhan tambahan yang harus dikenakan terhadapnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru