Tuesday, August 16, 2022

Pulapol 61 kes, pergaulan rapat, kurang penjarakan fizikal punca

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak sekali lagi merekodkan kes harian positif Covid-19 tertinggi dengan 607 kes sekali gus merupakan yang tertinggi di seluruh negara hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia menjadikan keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 20,959 kes.

“Bagaimanapun, jumlah kes yang paling tinggi pernah dilaporkan di Sarawak itu adalah berikutan sejumlah 61 kes melibatkan Pusat Latihan Polis Sarawak (PULAPOL).

“Perebakan jangkitan dalam kalangan pelatih pusat ini berpunca daripada pengaulan rapat dan kurang amalan perjarakan fizikal kerana tinggal di dalam asrama platun dan kompeni yang sama secara beramai.

“Bagaimanapun, kesemua terlibat adalah mereka yang ditempatkan di PULAPOL, maka keadaan jangkitan adalah terkawal,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPBNS, berikutan penularan kes berkenaan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Puncak Borneo di Kuching.

“Ia merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan jangkitan dalam kalangan pelatih dengan kes indeks ke-19,697 iaitu pelatih yang disaring di Klinik Kesihatan Kota Sentosa kerana bergejala pada 9 April lalu.

“Setakat semalam, sejumlah 111 individu telah disaring dengan 61 daripadanya positif termasuk kes indeks, manakala 50 orang negatif saringan pertama,” jelasnya.

Mengenai pecahan kes, JPBNS berkata daripada keseluruhan kes semalam, Bintulu masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 130 kes, diikuti Kuching (106), Sibu (106), Mukah (52), Miri (49), Kapit (33), Meradong (29), Saratok (23), Samarahan (14), Sarikei (14), Betong
(8), Bukit Mabong (8), Selangau (8), Subis (8), Dalat (5), Kanowit (3), Matu (3), Julau (2), Serian (2), Sri Aman (2), Asajaya (1) dan Beluru (1).

“Sementara sebanyak 48 kluster masih aktif dengan 12 daripadanya melaporkan penambahan kes, manakala 36 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” ujar JPBNS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru