Tuesday, May 11, 2021

Latihan ikut situasi sebenar

Mesti baca

SARIKEI: Keselamatan di tempat kerja merupakan aspek penting bagi mengelak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa selain memastikan produktiviti kerja terus meningkat.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei berganding bahu menganjurkan latihan pengungsian bangunan, di sini baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba Sarikei Mahmudin Narudin berkata, program itu bermatlamat memberi pendedahan kepada kakitangan JPJ tentang prosedur menyelamatkan diri ketika sesuatu kecemasan khususnya kebakaran.

Katanya, sesi latihan yang bermula sekitar jam 9.45 pagi itu berlangsung di bangunan pejabaf JPJ Sarikei.

“Sepanjang latihan, kakitangan JPJ memberikan kerjasama yang cukup baik. Ia bermula dengan bunyi loceng sebagai tanda amaran kepada peserta untuk mengosongkan bangunan.

“Selepas bangunan dikosongkan, peserta diarah berkumpul sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. Ketika ini, pegawai warden keselamatan JPJ Mohd Fitri Mohd Nor Alam sempat membuat pemeriksaan bagi memastikan semua kakitangan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, latihan dilakukan mengikut situasi sebenar apabila bomba memasuki premis dengan membawa peralatan yang lengkap sambil melakukan simbahan air ke arah luar bangunan.

Pada masa yang sama katanya, kakitangan juga berpeluang mengikuti demonstrasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api mudah alih. Menurutnya, objektif latihan adalah untuk memastikan kesiapsiagaan pasukan penyelamat serta agensi berkaitan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

“Selesai latihan, kami membuat penilaian kepada semua kakitangan yang turut serta dalam program ini. “Secara keseluruhan, saya berpuas hati apabila setiap aspek perancangan menampakkan situasi sebenar.

Selain itu, kerjasama semua kakitangan JPJ membolehkan pelaksanaan program berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru