Tuesday, May 11, 2021

Keuntungan cukai minyak dan gas meningkat

Mesti baca

SPAOH: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg optimis Kerajaan Sarawak tahun ini bakal mendapat agihan Cukai Jualan Negeri (SST) minyak dan gas yang lebih besar berbanding dua tahun sebelum ini.

Namun tegasnya, sebanyak manapun pendapatan tetapi kerajaan tidak mempunyai kecekapan dalam mentadbir, ia akan hilang dan tidak ke manamana.

“Pada 2019, tahun pertama saya melaksanakan SST, Petronas membayar Sarawak RM2.9 bilion, dan dicampur dengan sumbangan SST oleh syarikat lain seperti Shell, Exxon dan sebagainya, semuanya mencecah RM3.2 bilion.

“Manakala pada 2020 sehingga hari ini kita menerima lebih RM2 bilion ekoran harga minyak turun. “Maknanya, dalam masa dua tahun, Sarawak menerima lebih RM5 bilion tambahan pendapatan pelaksanaan SST.

“Justeru pada 2021 ini, saya melihat harga minyak mengalami kenaikan dalam USD60, ada ketikanya USD70. Jika ini meningkat, peluang Sarawak mendapat lebih banyak SST juga tinggi,” katanya.

Beliau bercakap demikian semasa Majlis Lawatan Kerja Janji Ditepati di Daerah Kecil Spaoh pada Sabtu.

Kesemua pendapatan tersebut jelasnya, ditadbir dengan cekap. “Bagi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak, kita mempunyai pakar ekonomi, ditambah dengan suasana negeri yang aman, pengurusan baik, maka banyak projek dapat dibawa ke luar bandar – macam-macam projek.

“Maksudnya, dengan pengurusan kerajaan terbaik, pemimpin yang ikhlas…masa depan Sarawak akan cerah. “Bukan seperti di Semenjung Malaysia. Minta maaf, di Malaya mereka sering menghitung wakil rakyat kerana berebut hendak menjadi perdana menteri. Apabila dihitung-hitung, ada juga yang melompat parti.

“Tetapi kita di Sarawak dalam keadaan yang baik. Semuanya tersusun daripada ketua menteri, timbalan ketua menteri, menteri hingga peringkat pelaksanaannya. Semua tersusun dan teratur,” ujarnya.

Berbicara mengenai PRN12, Abang Johari mengakui tidak khuatir kerana orang luar bandar boleh melihat apa yang dilaksanakan Kerajaan GPS dalam tempoh beberapa tahun ini. “Kita banyak membangunkan projek.

Saya berharap ia akan memberi manfaat kepada rakyat dan saya dapat pahala, pemimpin lain juga dapat pahala. Rakyat juga dapat pahala kerana mewujudkan perpaduan yang kukuh.

“Namun, semuanya di tangan anda, fikir-fikirkan. Jika anda masih mengharapkan pembangunan, teruskanlah bersama-sama kami,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru