Tuesday, May 11, 2021

Sarawak: Negeri, wilayah atau negara?

Mesti baca

Apabila tersebar berita bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak mengadakan kunjungan rasmi ke   Sarawak , banyak pihak mengharapkan ia bukan sekadar lawatan politik, tetapi membawa khabar gembira kepada Sarawak. Apatah lagi, itu merupakan lawatan pertama selepas beliau merasmikan Hari Malaysia di Sibu pada 16 September 2020.

Selain berita tentang beliau menikmati mi kolok Haji Salleh di Satok, pengumuman Sarawak kini  sebagai  satu wilayah sesuatu yang mendapat perhatian rakyat.

Muhyiddin semasa berucap pada satu majlis, merujuk Sarawak sebagai wilayah dan bukan sekadar sebuah negeri di Malaysia. Susulan pengumuman itu, pelbagai pihak membuat pelbagai tafsiran dan gesaan, dengan ada yang bersetuju, dan tidak kurang pula, seperti biasa yang menentangnya.

Perbincangan dan perdebatan tentang istilah itu heboh dalam media sosial, malah pengkritik menyifatkan sebagai wayang atau sandiwara politik semata-mata.

Bagi yang tak bersetuju, istilah itu  bagai menurun taraf Sarawak, sama seperti Wilayah Persekutuan  Kuala lumpur, Putrajaya, dan  Labuan.  Bagi golongan ini, hal ini tidak wajar dan tidak adil memandangkan ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu mempunyai kedudukan yang sama sebagai negara.

Sesungguhnya, memang terdapat kekeliruan susulan pengumuman itu. Adakah ia sudah rasmi? Mengapa tidak terdapat pengumuman rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri untuk hal yang sepenting itu?  Mengapa tidak dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu? Mengapa pula Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)  tiba-tiba mengumumkan untuk melaksanakan pertukaran nama cawangan bagi semua agensi di bawahnya di Sabah dan Sarawak?

Muhyiddin mengatakan Sabah dan Sarawak bukan negeri tetapi lebih tinggi daripada negeri iaitu wilayah. Wilayah yang dimaksudkan adalah dalam konteks penubuhan Malaysia, ada tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu bercantum membentuk  Persekutuan 58 tahun lalu. Hal ini bererti ia tidak setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, sebab itu ia disebut wilayah.

Dari segi semantik, menurut Kamus Dewan Perdana terbitan DBP, negara ialah wilayah atau kawasan yang bersempadan politik dan geografi di bawah kekuasaan sesebuah pemerintah, manakala negeri ialah kawasan yang menjadi sebahagian daripada sesebuah negara. Kamus  setebal 2,529 berharga RM200 itu mentarifkan wilayah sebagai kawasan dalam sesebuah negara yang ditentukan sempadannya dan diletakkan di bawah satu pentadbiran.

Justeru, jangan samakan tiga wilayah (region)  berkenaan dengan Wilayah (territories) Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan atau Putrajaya. Ini ialah soal semantik dan takrifan, dan kamus mempunyai pelbagai takrifan dan makna untuk wilayah.

Istilah wilayah bagi merujuk kepada kawasan  berkenaan adalah  lebih rendah daripada negeri tetapi istilah wilayah bagi Sarawak dan Sabah adalah  lebih tinggi daripada negeri-negeri di Semenanjung dalam konteks penubuhan Malaysia.

Jadi, ini bermaksud ketiga-tiga wilayah terbabit  hanya perlu disebut Sabah, Sarawak dan Semenanjung tanpa perlu  menyebut negeri bagi menepati maksud setaraf dalam konteks penubuhan Malaysia.

Hakikatnya, ‘wilayah’  digunakan  untuk membezakan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri  lain di Semenanjung.  Betulkah  selepas Sabah dan Sarawak dikategorikan sebagai wilayah, ia bukan lagi di bawah persekutuan tetapi konfederasi seperti dinyatakan seorang menteri di Sarawak?

Untuk itu, kita perlu faham akan maksud dan implikasi semua istilah itu dalam konteks sistem politik.

Sistem konfederasi ialah sistem pemerintahan yang kerajaan persekutuan mempunyai kuasa yang lebih rendah berbanding kuasa kerajaan negeri atau wilayah. Sistem politik unitari ialah sistem pemerintahan yang memperuntukkan segala sumber kuasa di tangan kerajaan persekutuan atau kerajaan pusat.

Malaysia mengamalkan sistem federalisme atau persekutuan. Persekutuan dibentuk hasil ikatan atau perjanjian sukarela antara pihak yang terbabit dflaam pembentukan negara.

Bagi Wheare (1967), seorang sarjana sains politik, persekutuan ialah kaedah membahagikan kuasa supaya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah tiap satunya, dalam bidang kuasa masing-masing, sedarjat dan bebas. Bagi Birch (1957), sistem persekutuan ialah sistem pemerintahan yang membahagikan kuasa kepada dua peringkat kerajaan, iaitu pusat dan negeri, dengan setiap satunya saling bekerjasama melalui sistem pentadbiran menurut bidang kuasa masing-masing.

Kita perlu ingat bahawa dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Persekutuan Malaysia dibentuk oleh Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada 11 buah negeri, Negara Sabah, Negara Sarawak dan Negara Singapura. Kita perlu sedar bahawa Sabah dan Sarawak disebut sebagai wilayah kerana kedua-duanya ialah dua buah wilayah atau negara yang berdaulat. Dari segi ini, tiga wilayah yang ada ketika ini, selepas Singapura tidak lagi bersama-sama Malaysia pada 1965, ialah rakan sekutu yang sama taraf atau status dalam Persekutuan Malaysia.

Dari segi ini, Sabah dan Sarawak ialah dua negara dan entiti politik yang bebas, merdeka dan berdaulat pada 1963, sebelum Malaysia dibentuk.

Yang penting, status Sabah dan Sarawak perlu dikembalikan ke kedudukan asal, diiktiraf dan diterima, dan semua haknya yang sewajarnya dinikmatinya mengikut MA63, undang-undang atau perlembagaan berkaitan perlu diberi.

Sesetengah pihak menggesa  supaya Sarawak dan Sabah diberi status ‘negara’  kerana sebelum Malaysia ditubuhkan, Sarawak dan Sabah dikatakan merdeka daripada British. Tetapi status berkenaan berubah selepas 1976 apabila berlaku pindaan terhadap Perlembagaan.  Maksudnya, adakah kita mahu wujud sebuah negara di dalam negara?

Pada 2019, percubaan dilakukan untuk meminda Perkara 1(2) perlembagaan Persekutuan di Parlimen, tetpai gagal mendapat sokongan dua per tiga. Ahli Parlimen terbabit menolak pindaan itu  kerana ia dilihat dibuat begitu tergesa-gesa tanpa memberikan masa yang cukup untuk diteliti dan dibahaskan walhal implikasi dan dampaknya sangat besar. Pindaan itu bertujuan untuk memulihkan kedudukan Sarawak upaya tidak menjadi salah satu daripada 13 negeri.  Kerajaan di kedua-dua negeri ini ingin mempunyai lebih kuasa terhadap negeri masing-masing.

Malah, untuk mengukuhkan hujah mereka, golongan pengkritik kepada penggunaan istilah wilayah itu mengatakan bahawa sebelum pembentukan Malaysia, Singapura dikenali sebagai negara Singapura, bukan negeri Singapura.

Debat tentang status Sabah dan Sarawak telah berlangsung sekian lama. Adakah debat itu akan berakhir selepas status wilayah diberi kepadanya atau debat berkenaan akan semakin hangat dan bising?

Hakikatnya, yang penting adalah bagaimana Kerajaan Persekutuan melayan kedua-dua wilayah berkenaan? Adakah adil, saksama dan telus sebagaimana diharapkan oleh pengasas Malaysia dari Sabah dan Sarawak 58 tahun lalu? Kalaupun diberi kategori negara, tetapi layanannya ialah layanan kelas dua, tentu semua itu tidak akan banyak mendatangkan makna.

Kita perlu sedar bahawa perlembagaan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sebuah sistem persekutuan seperti diamalkan di Malaysia.

Sebenarnya, perlembagaan yang baik ialah perlembagaan yang memberi jaminan bahawa setiap wilayah mempunyai kuasa autonomi tersendiri yang tidak boleh dicerobohi sewenang-wenangnya oleh kerajaan persekutuan.

Autonomi banyak dibincangkan dan disebut-sebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan Sarawak dan Sabah menuntut agar mereka diberi lebih banyak autonomi termasuk dari segi pendidikan.

Banyak sarjana sains politik termasuk Heywood bersetuju bahawa persekutuan yang berjaya ialah persekutuan yang mempunyai ciri perlembagaan yang menjamin kedaulatan kuasa autonomi kerajaan negeri, dan terdapatnya imbangan kuasa berdasarkan kuasa kuasa kehakiman, eksekutif dan perundangan.

Kalau ada konflik yang timbul, konflik itu harus ditangani dengan bijaksana oleh kedua-dua pemimpin persekutuan dan negeri.

Kalau tidak ini akan menjadi bara yang dapat membakar persekutuan sehingga sistem itu gagal. Jangan biarkan sebarang masalah, rasa tidak puas hati dan rungutan berlarutan dan membesar.

Kerajaan Persekutuan perlu sentiasa memantau sentimen akar umbi  dan mendengar suara pemimpin dan wakil rakyat dari kedua-dua wilayah itu sebelum sesuatu isu menjadi besar, dan tidak lagi dapat dikawal.

Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur barulah hendak bertindak.

Jadi, isu MA63  dan status Sabah dan Sarawak dari segi Perlembagaan ialah isu penting kerana ia roh kepada kelahiran Malaysia yang kita kenali pada hari ini.

Jadi, inti pati dan semangat asal MA63 perlu diberi perhatian serius, saksama dan adil agar, Malaysia muncul sebagai persekutuan yang berjaya, dan bukannya persekutuan yang gagal.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru