Tuesday, May 11, 2021

Warga British maut dalam kemalangan di Miri

Mesti baca

MIRI: Seorang lelaki warga British maut selepas terlibat dalam dua kali kemalangan jalan raya di lorong Mulia 2B Tudan dan Jalan Lutong-Kuala Baram, semalam.

Mangsa berusia 38 tahun itu yang memandu Toyota Hilux pada awalnya telah melanggar sebuah motosikal di lorong Mulia 2B lalu bertindak melarikan diri sebelum kenderaannya sekali lagi terbabas di Jalan Lutong-Kuala Baram.

Akibat kemalangan pertama penunggang motosikal bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan manakala motosikalnya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan kejadian kemalangan kedua sekitar jam 9 malam.

Menurutnya siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa datang dari arah Senadin melalui Jalan Tudan.

“Kenderaan dipandu mangsa dilaporkan telah memakan jalan semasa hendak masuk ke simpang tersebut lalu melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu terbabit kemudiannya terus memandu kenderaannya lari dari tempat kejadian pertama.

“Semasa tiba di Jalan Lutong-Kuala Baram kenderaannya telah terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tebing parit simen sebelum bergolek dan melanggar pagar premis Cosama Sdn Bhd” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara Rawak

Artikel Terbaru