Sunday, May 22, 2022

Negara luar import lebih banyak sawit dari Malaysia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Afghanistan menyambut baik cadangan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Selain itu, menurut beliau, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka potensi dalam usaha mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia secara langsung ke Afghanistan yang pada masa ini sebanyak 75,000 tan setahun kepada 150,000 tan setahun.

Katanya, persefahaman itu sekali gus membuka lembaran baharu kepada sawit Malaysia untuk dipasarkan ke Asia Tengah dengan Afghanistan sebagai laluan pintu masuk atau ‘gerbang emas’ ke negara-negara lain di rantau berkenaan melibatkan Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan sehingga ke Kazakhstan.

Ia juga, ujarnya melibatkan lain-lain negara melalui Pelabuhan Chabahar di Iran seperti yang dihasratkan beliau iaitu untuk meneroka pasaran baharu sawit ke rantau berkenaan

Menurutnya, perkembangan itu susulan beliau menerima kunjungan hormat daripada Duta Republik Islam Afghanistan ke Malaysia, Dr. Mohib Rahman Spingar pada 8 April lalu.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir. Mengiringi Dr Mohib ialah Ketua Kanselor, Abdul Mueen Shahid dan Penasihat Kedutaan, Naseem Khanam.

Tambahnya, dalam pertemuan tersebut juga, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi untuk menjadi Afghanistan sebagai pintu masuk eksport agrikomoditi Malaysia yang lain iaitu seperti getah, lada, koko dan kayu-kayan.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan tersebut tidak lama lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, KPPK percaya persefahaman ini dicapai kerana dunia yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia yang premium dan sekali gus menunjukkan tindakan Sri Lanka yang menyekat import bahan mentah komoditi itu baru-baru ini tidak akan menjejaskan pasaran sawit negara malah akan membuka lebih banyak pasaran baharu di rantau yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru