Tuesday, May 11, 2021

Apakah status Sarawak dalam persekutuan?

Mesti baca

KUCHING: Pengisytiharan wilayah tidak memberi apa-apa implikasi kepada status sebenar Sarawak dan Sabah, kata Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS).

Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang berkata ia seperti memberi nama baharu kepada Sarawak dan Sabah sebagai wilayah tetapi status masih sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita umum tahu bahawa Sarawak dan Sabah sebuah wilayah, tetapi roh dan inti pati sesebuah wilayah itu tidak ada.

“Apakah yang akan berubah dengan pengisytiharan ini, apakah status kita dalam persekutuan?

“Dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai negeri bersama negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata satu-satunya cara untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia adalah melalui pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan ini memenuhi hasrat dan tujuan iaitu memberi pengiktirafan bahawa Sabah dan Sarawak bukan hanya negeri setara dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi memulihkan statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Wellie menegaskan salah satu tuntutan penting menjadi asas rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia adalah tuntutan menjamin hak istimewa orang asal Sabah dan Sarawak.

Katanya tuntutan penting itu termaktub dalam perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “adalah menjadi tanggujawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istemewa orang asal Sabah dan Sarawak”.

Secara Rawak

Artikel Terbaru