Tuesday, May 11, 2021

Aplikasi yang fleksibel, mesra warga Sarawak

Mesti baca

KOTA SAMARAHAN: Aplikasi telefon bimbit Anak Sarawak atau AnakSarawak Mobile App bakal menjadi salah satu aplikasi yang memudahkan semua komuniti di negeri ini berkomunikasi antara satu sama lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Taqwatech Sdn. Bhd. yang juga pengasasnya, Mohd Zharif Drahman berkata, aplikasi itu lebih fleksibel dan bersifat komuniti.

“Aplikasi ini baharu sahaja dibangunkan sejak dua bulan lalu dan menyasarkan komuniti tempatan negeri ini. “Kami memperkenalkannya sekarang kerana apabila bercakap mengenai aplikasi khususnya iOS, ia sentiasa memerlukan kemas kini sistem.

“Aplikasi seperti ini memerlukan peruntukan untuk membeli pelayan komputer kerana ia berhubung rapat dengan media sosial. “Apa-apa sahaja data yang disimpan pengguna, ia tidak akan berkurangan tetapi terus bertambah,” katanya pada sidang media pelancaran aplikasi Anak Sarawak di Taman D-Virtual di sini pada Khamis.

Sementara itu Taqwatech Sdn. Bhd menggunakan kemudahan infrastruktur digital yang disediakan Serba Dinamik seperti hub inovasi dan akses kepada pusat data bagi penyimpanan data produk serta perkhidmatan.

Aplikasi Anak Sarawak boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play atau App Store – pengguna boleh mendaftar akaun mereka hanya menggunakan nombor telefon bimbit dan kata laluan sendiri.

Zharif memberitahu, ini kerana ia lebih selamat berbanding menggunakan e-mel dan nombor telefon pula merupakan hak peribadi dan hanya dimiliki seorang pengguna. “Namun sekiranya pengguna menggunakan e-mel pula, pengguna boleh membuat lebih daripada satu e-mel untuk mengaksesnya,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai aspirasi menggunakan nama Anak Sarawak sebagai nama aplikasi, Zharif memberitahu, ia diinspirasikan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika pertama dan terakhir kalinya beliau berjumpa Allahyarham di KLCC.

“Ketika itu, saya masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan berasa begitu teruja bertemu Tok Nan yang kemudiannya, bertanya bidang yang saya pelajari.

“Saya memberitahunya, saya sedang belajar berkaitan sistem dan pengkomputeran. “Allahyarham berkata, saya perlu membuat sesuatu untuk anak Sarawak dengan kemahiran yang saya miliki,” jelasnya lagi.

Dari segi sasaran pengguna pula, Zharif memberitahu, mereka menyasarkannya kepada pengguna yang masyarakat luar tidak tahu mengenai kewujudan mereka di negeri ini. “Sebagai contoh, di Sarawak mempunyai kelab congkak dan ada masyarakat yang tidak tahu kelab ini wujud.

“Melalui aplikasi ini, masyarakat boleh mencari orang yang berminat tanpa memerlukan menambah rakan seperti aplikasi yang lain,” ujarnya.

Selain itu kata Zharif, aplikasi tersebut hanya akan memaparkan iklan pasaran atau hantaran berdekatan dengan pengguna dan mempunyai fungsi membolehkan pengguna memilih sendiri tetapan kategori yang diingini.

“Misalnya, jika pengguna di Kuching ingin membeli barang untuk keluarga di Bintulu, mereka boleh mencari barang tersebut melalui aplikasi ini. “Kemudian penjual di Bintulu menghantarnya kepada keluarga di sana,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata, pengguna boleh memilih apa-apa yang mereka ingin kongsikan melalui aplikasi Anak Sarawak mengikut kategori seperti berita, perniagaan, e-sukan, gaya hidup dan sebagainya. Zharif menjelaskan, setakat ini mereka belum mengeluarkan versi memudahkan pengguna memuat naik video secara langsung.

Secara Rawak

Artikel Terbaru