Wednesday, September 22, 2021

Satu amaran kepada rakyat Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Rekod tertinggi positif Covid-19 yang pernah dicatatkan Sarawak hari ini merupakan satu amaran kepada rakyat negeri ini, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ujarnya selagi rakyat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kes jangkitan wabak itu di Sarawak akan semakin meningkat dan membawa implikasi yang besar.

“Peningkatan kes jangkitan begini juga menyebabkan kita tidak dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Justeru, sekali lagi saya menyeru kepada orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP yang telah dikeluarkan, jangan leka untuk memakai pelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal diamalkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mengumumkan JPBNS bersetuju untuk membenarkan Program Pengimarahan Ramadan di Masjid dan Surau tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan pada 1 April lalu.

Sementara itu katanya, Daerah Mukah telah bertukar kepada status merah.

“Ini menjadikan jumlah berstatus merah meningkat kepada 13 daerah, Subis pula bertukar dari status kuning kepada jingga.

“Manakala 17 daerah berstatus kuning dan lima daerah berstatus hijau,” tambahnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru