KUCHING: Seorang warga emas ditangkap kerana mencuri sebuah jentera angkat susun (forklift) milik sebuah syarikat kejuruteraan di kawasan Bintawa dan menjualnya di kedai besi buruk.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata lelaki berusia dalam lingkungan 60 tahun itu ditangkap di rumahnya di Bintawa pada jam 1 petang semalam.

Katanya tangkapan ke atas suspek dibuat dalam tempoh 48 jam selepas kes dilaporkan oleh syarikat berkenaan pada jam 7.30 pagi Isnin lalu, sebaik sahaja menyedari forklift berkenaan hilang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya mengesan kedudukan kenderaan berat itu di sebuah premis jual beli barang lusuh di kawasan Pending.

“Berdasarkan rampasan dan hasil semakan dari premis terbabit telah membawa kepada tangkapan suspek iaitu dalang dalam kes ini.

“Turut ditemui empat tayar forklift yang masih disimpan di kediamannya di Bintawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Merbin, hasil soal siasat, suspek menyatakan mengupah sebuah kren dan lori 10 tan untuk memindahkan forklift berkenaan yang diletakkan di tepi jalan untuk dijual di kedai besi buruk terbabit.

“Tindakan mengesan suspek yang membantu warga emas ini sedang dijalankan,” katanya.

Katanya ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan denda.