BARAM: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM400,000 untuk tujuan membina galeri warisan di Long Terawan sebagai tempat tarikan pelancong baharu.

Menurutnya, kelulusan permohonan dana tersebut sudah diberikan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Terdahulu, Adun Mulu Datuk Gerawat Gala dalam ucapannya memohon sebuah pembinaan sebuah galeri untuk dijadikan pusat warisan di Kampung Long Terawan. Ujar Gerawat, masyarakat Berawan dari kawasan berkenaan sudah lama terkenal sebagai jaguh lumba perahu di Baram sejak tahun 90-an.

“Justeru, galeri ini dapat menempatkan trofi kemenangan pasukan pengayuh Baram yang sentiasa muncul juara terutama acara perahu panjang. “Oleh itu, kita memohon Ketua Menteri meluluskan permohonan ini, reka bentuk sudah siap dan ia dianggarkan menelan kos RM400,000,” ujar Gerawat pada Majlis Pelancaran SRBN di Long Terawan, padas Selasa.

Susulan itu, Abang Johari berkata, peruntukan untuk galeri itu ialah antara permintaan yang diterima daripada penduduk Long Terawan semalam.

Sementara itu, kata Abang Johari permintaan lain seperti naik taraf jalan sepanjang 31 kilometer (km) dari Kampung Long Terawan melalui Kampung Long Atip sepanjang akan dipertimbangkan.

Berkenaan dengan permintaan berkaitan dengan projek pertanian dan penternakan pula, Abang Johari menyatakan ini akan diuruskan bersama pembangunan Internet untuk memudahkan penjualan ke daerah lain.

Untuk permintaan melaksanakan sukatan perimeter tanah adat (NCR) di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 di Kampung Long Terawan, beliau akan mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei untuk melakukannya.

“Namun, kadang-kadang ada pihak tertentu suka memutarbelitkan perkara. “Ketika kita menyukat, ada pula pihak mendakwa kerajaan negeri ingin merampas tanah tersebut.

“Ini bukti bahawa orang kampung itu sendiri yang meminta sukatan ini dilakukan, bukannya kerajaan hendak merampas tanah, ini tidak benar,” katanya.