BAU: Empat penganggur dicekup di Kampung Sungai Pinang, di sini kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kesemua suspek ditahan menerusi dua pemeriksaan berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, hari ini.

Katanya tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 9.15 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah rumah.

“Pemeriksaan tidak menemukan sebarang dadah namun saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, Poge berkata tangkapan kedua dibuat ke atas sebuah rumah berasingan kira-kira jam 9.45 pagi, dengan menahan tiga lelaki berusia 22, 27 dan 31 tahun.

Katanya pemeriksaan turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 5.25 gram yang dianggarkan bernilai RM550.

“Kesemua suspek juga didapati positif dadah,” katanya.

Poge berkata kesemua suspek akan dipohon reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.