KUCHING: Polis kini sedang mengesan seorang lelaki dipercayai suspek utama kes rompakan baru-baru ini di Taman Juta Ria, Jalan Matang, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata lelaki tersebut yang dikenali sebagai Amir yang dipercayai suspek utama dalam kes tersebut.

Lim berkata, tiga suspek yang lain yang terlibat telah ditahan polis dalam tempoh 24 jam dari hari kejadian.

“Kawad cam telah dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek telah disahkan terlibat dalam rompakan tersebut.

“Ketiga-tiga suspek juga mengaku terlibat dalam kejadian bersama seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Amir.

“Amir merupakan salah seorang dari tiga suspek yang memecah masuk ke rumah mangsa sementara seorang lagi suspek berada di luar,” kata Lim dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama tujuh hari dari 4 hingga 11 April.

Jelasnya, jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Lim turut berkata, hasil siasatan terhadap suspek yang ditangkap, polis masih mengesan Amir yang dipercayai suspek utama bagi kes ini.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Stiffan di 014-6750181.