KUCHING: Pasukan Pengawal Pantai Sarawak (Sarawak Coastguard) akan beroperasi dengan amalan operasi terbaik yang berasaskan Doktrin Network Centric Operation yang berasaskan perangkaian data atau risikan melalui pelbagai sumber serta perangkaian usaha agensi.

Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung berkata ia bagi membolehkan Sarawak Coastguard dapat beroperasi sebagai satu entiti yang bertindak balas cepat dan berkesan.

“Penubuhan Sarawak Coastguard adalah bagi membantu agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam penjagaan sumber-sumber asli, kekayaan maritim serta keselamatan nelayan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Sarawak Coastguard yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.

Menurut Khin Chung, Sarawak Coastguard telah menerima kapal pertama iaitu SC Tanjung Datu, sebuah bot Catamalan pada hujung tahun lepas.

Katanya aset ini akan dikerahkan untuk penugasan operasi penguatkuasaan, pengurusan bencana banjir Sarawak serta sebagai kapal latihan bagi anggota-anggota Sarawak Coastguard.

Beliau menambah pada masa ini, Sarawak Coastguard telah menerima enam buah bot interceptor.

Selain itu, katanya sebanyak sembilan buah kapal ronda laju dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2022 dan 2023.

“Dengan perolehan aset-aset ini, Sarawak Coastguard mampu memikul tanggungjawab dan objektif-objektif yang ditetapkan,” katanya.