DELHI: Polis India baru-baru ini berjaya menangkap penjenayah terkenal dari Meerut, di Uttar Pardesh yang hidup bebas 15 tahun, gara-gara tindakan beraninya memberikan sijil kematian palsu kepada pihak berkuasa demi mengelak diri dari dipenjara.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Aniraj Singh yang dituduh mendalangi insiden kebakaran Meerut 2006.

Tragedi kebakaran Meerut 2006 berlaku pada petang 10 April dan meragut 67 nyawa.

Kebakaran itu berlaku di Taman Victoria yang ketika itu dipenuhi sekitar 2,000 orang yang menghadiri acara perdagangan.

Insiden itu juga menyebabkan rempuhan berlaku.

Selepas insiden itu, pihak penganjur pameran itu disaman polis, tetapi tertuduh utama, Singh, yang dijatuhkan hukuman seumur hidup oleh Mahkamah Agung, gagal hadir di mahkamah dan diisytiharkan sebagai orang buruan yang melarikan diri dan bersembunyi daripada ditangkap.

Selang tidak lama kemudian, keluarga Singh memberikan sijil kematiannya di mahkamah melalui peguam mereka.

Atas arahan mahkamah, polis menghentikan siasatan insiden tersebut.

Setelah 15 tahun hidup bersembunyi, seorang pegawai polis menerima maklumat berkaitan Aniraj Singh dan berdasarkan maklumat itu polis melakukan serbuan di beberapa tempat, sehingga akhirnya berjaya menemuinya.

Menurut ARY News, Singh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan juga mengubah namanya bagi mengelak dari dikesan polis.