BARAM: Landskap pembangunan di seluruh kawasan Ulu Baram akan berubah apabila cadangan projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Miri-MarudiLong Terawan oleh Kerajaan Sarawak siap dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia antara rancangan pembangunan infrastruktur Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan akan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Saya sudah merancang untuk membuat jalan raya dari Miri ke Marudi seterusnya Marudi ke Long Terawan. Namun pembinaan ini mengambil masa sekitar empat hingga lima tahun. “Jalan ini agak jauh, jadi sudah tentu mengambil masa.

Takut nanti ada pihak tertentu yang datang ke sini untuk melihat kemajuan projek dan menyatakan tiada yang dilakukan. “Tetapi anda harus memahami bahawa membina jalan memerlukan masa,” katanya pada Majlis Pelancaran SRBN di Long Terawan, pada Selasa.

Menurutnya, penyelarasan jalan tersebut akan menjadikan perjalanan Miri ke Long Terawan akan lebih dekat berbanding jalan lama.

“Saya juga mempunyai beberapa lagi rancangan pembangunan yang akan datang untuk kawasan ini, tetapi tidak dapat mendedahkan dahulu hari ini.

“Tetapi pastikan saya menang Pilihan Raya Negeri terlebih dahulu, selepas itu kita meneruskan rancangan “katanya. Tambahnya, terdapat kemungkinan wujud jalan penghubung dari Kuching ke Miri sehingga ke Long Terawan melalui Lebuh Raya Pan Borneo dengan menggunakan jalan pesisir dalam masa lima tahun lagi.

“Semua ini dirancang dan sebabnya saya menubuhkan agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dengan menteri bertanggungjawab akan memberikan pandangan dan input mengenai bidang yang akan dikembangkan di Baram.

“Ini kerana Baram mempunyai potensi bukan hanya dari segi pertanian, tetapi juga pelancongan,” jelasnya. Beliau pada masa sama menyeru masyarakat Baram untuk terus menyokong kepimpinan GPS demi kelangsungan kemajuan pembangunan di kawasan tersebut.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Speaker Dun Sarawak Datuk Gerawat Gala, Menteri Muda Perancangan, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat & Ukas Abdullah Saidol dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Datuk Amar Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.