MANILA: Darren Manaog Penaredondo, 28, meninggal pada 3 April lepas, dua hari setelah dihukum ketuk ketampi 300 kali kerana melanggar perintah berkurung waktu malam.

Darren ditangkap polis kerana membeli air minuman dari kedai setempat selepas waktu perintah berkurung di kuat kuasa bermula 6 petang bersama-sama pesalah lain, kata isterinya Reichelyn Blace.

Blace mengaku, Penaredondo dan pelanggar lain diminta melakukan ketuk ketampi 100 kali, dan disuruh mengulangnya jika tidak melakukannya serentak.

Sebaik sahaja Penaredondo pulang rumah, dia sukar berjalan.

Blace memberitahu media Filipina Rappler bahawa suaminya itu terpaksa dipapah oleh sesama pesalah lain.

Blace berkata, suaminya hanya merangkak sepanjang berada di rumah akibat kaki dan lututnya sakit.

Semasa di bilik air, Penaredondo tiba-tiba kejang dengan jiran cuba memberi bantuan pernafasan kepadanya.

Dia sempat sedar, namun pengsan kemudiannya sebelum disahkan meninggal pada 10 malam, dalam perjalanan ke hospital.