KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan meluahkan kebimbangan beliau berkenaan nasib urusan perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau  ini kerana AS pada minggu lalu mengumumkan penggantungan segala urusan perdagangan dengan Myammar berkuat kuasa serta-merta.

“Tindakan ini disebabkan Myammar telah menggantung sistem demokrasi negara mereka dan kembali kepada pemerintahan tentera.

“Persoalan yang ingin saya lontarkan adakah Malaysia juga berhadapan dengan sekatan perdagangan seperti ini?

“Apabila langkah menggantung Parlimen yang berpanjangan dan boleh ditafsirkan sebagai menggantung demokrasi. Langkah yang tak dibuat oleh mana-mana negara demokrasi lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kata Zahida lagi sekiranya keadaan ini berlaku secara berterusan, ianya akan memberi implikasi yang sangat buruk kepada negara dan amat sukar untuk dipulihkan.

“Kita harus mengambil langkah-langkah proaktif dan jangan membiarkan ekonomi negara kita terjunam lebih dalam.

“Kita harus berwaspada bahawa negara negara lain di dunia memerhati kita dan AS adalah sebuah negara yang sangat mempertahankan sistem demokrasi dunia.

“Apa jua kekurangan mereka sendiri tapi mereka sanggup berperang untuk menegakkan sistem demokrasi di dunia ini. Harap negara kita tak sampai ke situ,” tegasnya.

Beliau turut mengharapkan agar kerajaan memberi justikasi sewajarnya kepada persidangaan Parlimen kerana beberapa sektor telah diberi kelonggaran untuk menjalankan operasi.