KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan dua lagi kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Kapitan, Marudi dan Kluster Disco, Saratok.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata, setakat hari ini sebanyak 44 kluster yang masih aktif.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak sembilan kluster yang melaporkan penambahan kes, manakala 35 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” katanya.

Dalam hal berkaitan, JPBNS memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak mulai 13 April 2021 jam 12.01 pagi hingga 26 April 2021 jam 11.59 malam.

Selain itu, setakat hari ini juga terdapat 12 daerah di negeri ini masih berstatus Merah, empat Jingga, 19 Kuning dan lima Hijau.