DARO: Sebanyak 1,924 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Pulau Bruit yang terdiri daripada 12 buah kampung dan sebuah rumah panjang menerima bantuan berupa makanan asas pada Selasa.

Ahli Parlimen Tanjung Manis,  Yusuf Abdul Wahab ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan-sumbangan tersebut berkata, ia merupakan peruntukan daripada kerajaan pusat untuk membantu keluarga di seluruh Parlimen Tanjung Manis.

“Diharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban keluarga dalam kita hendak menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Sekurang-kurangnya ada makanan asas dapat membantu persiapan makanan bagi menyambut bulan Ramadan yang menjelang tiba,” katanya.

Jelas beliau lagi, sumbangan di seluruh Parlimen Tanjung Manis itu melibatkan lebih daripada 9,300 KIR yang menelan belanja RM500,000.

Dalam pada itu, Yusuf turut memberitahu, sebelum ini beliau juga telah memberi baucer bernilai RM50 kepada semua murid Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh kawasan Parlimen Tanjung Manis.

Katanya, baucer tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga dalam membeli peralatan sekolah kepada anak-anak mereka.

“Baucer tersebut boleh ditukar untuk membeli peralatan sekolah di beberapa kedai yang telah dikenal pasti seperti di Daro, Tanjung Manis dan Sarikei yang sah baucer tersebut sah laku sehingga 15 April dan untuk sekolah menengah kita lanjutkan sehingga 30 April,” ujarnya lagi

Tambah Yusuf lagi, beliau juga telah menyumbangkan hampir 8,000 lebih pelitup muka kepada sekolah-sekolah untuk melindungi daripada penyakit wabak COVID-19.