KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pemerintahan ketua Menteri Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dalam melaksanakan Program Penyukatan Tanah NCR. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerja-kerja penyukatan ini telah pun bermula pada tahun 1960an lagi hingga sekarang ini. 

“Kita sudah menjalankan kerja-kerja penyukatan Tanah NCR ini sejak daripada tahun 1960an lagi. 

“Dan, sejak dari tahun 1960an hingga tahun 2010, kita telah pun menyukat lebih kurang 260,000 hektar,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Tradisional Buntal Lama Kuching di Dewan Sri Buntal, Kampung Buntal Kuching pada Selasa.

Seramai 155 orang penduduk menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kampung Tradisional Buntal Lama dalam dua fasa iaitu pada hari ini dan sebahagian besar menerima pada Rabu. 

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah memandangkan keadaan tanah NCR yang berselerak di Sarawak menyebabkan Kerajaan Sarawak melaksanakan kerja-kerja penyukatan menerusi inisiatif baharu melalui dua peringkat.

“Peringkat pertama ialah penyukatan secara perimeter. Ini adalah berdasarkan kepada permohonan. 

“Sekiranya ada yang tidak mahu tanahnya disukat, kerja-kerja penyukatan tidak akan dilaksanakan. 

“Malah, sebelum kerja-kerja penyukatan, kita juga buat dialog dan berbincang dengan masyarakat yang terlibat,” tambahnya. 

Katanyan lagi, untuk peringkat pertama ini akan dibuat secara perimeter dan dikeluarkan dengan warta di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. 

Setakat ini, Kerajaan Sarawak telah pun berjaya menyukat lebih daripada 980,000 hektar tanah NCR dan berjaya mewartakannya lebih daripada 760,000 hektar. 

Ujar Datuk Amar Awang Tengah lagi, Kerajaan Sarawak juga akan membantu pemilik tanah Seksyen 6 bagi penyukatan tanah secara individu. 

“Ini telah pun dilaksana dan kita akan keluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri. 

“Semuanya percuma dan tidak perlu bayar,” ujarnya. 

Hadir sama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) dan Menteri Muda Bekalan Air merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan  dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Naroden Majais.