KUCHING: Sebuah apartmen yang disewa di Jalan Stapok untuk dijadikan sebagai pusat judi dalam talian telah diserbu polis pada semalam.

Serbuan yang dijalakan oleh Pasukan ‘Task Force’ Ibu Pejabat Polis (IPD) Padawan sekitar jam 9 malam telah menahan lima orang suspek yang terdiri dari dua lelaki warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan seorang wanita warga Indonesia.

Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan umur 17 tahun hingga 33 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata sindiket tersebut dipercayai telah menjalankan operasi di apartment berkenaan beberapa bulan.

Katanya, sindiket menjalankan aktiviti mencari pelanggan melalui telefon bagi permainan judi dalam talian yang dijalankan di bahagian ruang tamu apartment bagi mengaburi mata pihak polis.

“Sindiket ini menggunakan pelbagai laman sesawang judi seperti Kiss Kaya, Mega888, Pussy 888, XE 888 dan joker.

“Waktu operasi kumpulan ini adalah 24 jam setiap hari dimana kesemua mereka tinggal di unit apartment tersebut dan pekerja bekerja 12 jam sehari.

“Jumlah keuntungan kasar bagi sindiket ini mencecah sehingga RM 4,000 sehari dan keuntungan sebulan RM 120,000,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, pada serbuan itu, pasukan operasi turut merampas dua unit komputer riba, tiga unit telefon pintar, dua unit tetikus, seunit papan kekunci, seunit modem dan seunit Unifi.

Tambahnya, semua tangkapan telah diambil keterangan siasatan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.