KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi pilihan utama rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

Menurut kenyataan media Pemuda Parti PBB, ia berasaskan prestasi, pencapaian dan polisi Kerajaan GPS yang sentiasa mengutamakan serta mementingkan rakyatnya.

“Kita yakin Kerajaan GPS akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta bakal diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat untuk terus menerajui negeri ini,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Pemuda PBB akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Kerajaan GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selain turut menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kestabilan negara.

Jelas kenyataan itu, kebijaksanaan pentadbiran kedua-dua pemimpin terbabit membolehkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak berjaya menangani isu pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Selain itu, Pemuda Parti PBB turut menyambut baik sokongan moral Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke arah memastikan kemenangan besar GPS dalam PRN12 kelak.

Bagaimanapun, BERSATU diberi peringatan supaya tidak campur tangan dalam jentera Parti PBB ketika pilihan raya akan datang.