KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan program Pengukuran Kampung Tradisional di negeri ini selagi mendapat permintaan daripada penduduk kampung. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif ini bagi mengiktiraf kampung tradisi sama ada di kawasan yang diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera mahupun belum diwartakan. 

“Masih banyak kampung tradisi di negeri ini yang masih belum disukat dan buat masa ini, kita telah pun berjaya menyukat di antara 300 hingga 400 kampung tradisi. 

“Ini akan kita teruskan dan yang penting penduduk kampung membuat perlu membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei. 

“Selagi ada permintaan untuk menyukat kampung, kita akan teruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Tradisional Buntal Lama Kuching di Dewan Sri Buntal, Kampung Buntal Kuching pada Selasa.

Datuk Amar Awang Tengah Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah Program Pengukuran Kampung Tradisional ini dilaksanakan secara percuma dan kemudian dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri. 

“Dengan adanya surat hak milik ini, tanah tersebut akan menjadi hak milik kekal pemilik melainkan mereka menjualnya,” katanya. 

Lebih 900,000 hektar Tanah Hak Adat (NCR) Bumiputera di seluruh Sarawak telah disukat khusus untuk pertanian. 

Katanya, daripada jumlah tersebut, lebih kurang 760,000 hektar sudah diwartakan. 

“Kalau ada permintaan misalnya tanah yang sudah disukat secara perimeter dan sudah dikeluarkan warta tetapi mereka mahu menyukat secara individu, jadi kita akan teruskan kerja penyukatan secara individu,” jelasnya. 

Dalam majlis itu menyaksikan seramai 155 orang penduduk Kampung Buntal Lama menerima surat hak milik tanah yang dibahagikan kepada dua fasa pada Selasa dan Rabu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

Hadir sama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) dan Menteri Muda Bekalan Air merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan  dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Naroden Majais.