LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 bagi tahun 2021 di Dewan Mahligai Gading Lundu pada Selasa.

Jumlah keseluruhan geran yang berjumlah RM111,000 itu akan disalurkan kepada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lundu.

“Memandangkan kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mohon bagi pertubuhan yang menerima geran untuk mengelakkan daripada membuat aktiviti berkumpul namun program khidmat komuniti masih digalakkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh PKPB bagi mengekang penularan COVID-19.