KUCHING: Enam buah bot jenis Interceptor milik Pengawal Pantai Sarawak (Sarawak Coastguard) akan beroperasi di perairan Sarawak pada tahun ini untuk menjaga keselamatan nelayan dan sumber asli maritim di sepanjang pantai negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan beberapa buah lagi kapal ronda laju untuk meronda persisiran pantai sedang diurus secara tender terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Aset-aset ini juga sesuai digunakan untuk membantu rakyat semasa banjir besar dalam operasi menyelamat dan mencari (SAR).

“Sarawak Coastguard juga berperanan sebagai pelengkap dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa lain sama ada negeri atau persekutuan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Sarawak Coastguard di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung.