KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan mengemukakan nama calon yang bakal bertanding untuk kerusi parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat ini.

Ketua Pemuda PRS Datiuk Snowdan Lawan berkata tindakan itu akan dilakukan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS yang akan datang.

“Kita akan cadangkan nama(calon) kepada Ketua Menteri dan ia terpulang kepada Ketua Menteri untuk menilai dan mempersetujuinya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Belia 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak hari ini.

Dalam pada itu itu, Snowdan mendedahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dari Ahli Parlimen Julau, Larry Sng untuk menyertai PRS semula setelah beliau meletak jawatan sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) sarawak dan keluar dari parti itu pada 28 Februari lalu.