KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memutuskan tidak meneruskan penganjuran Bazar Ramadan di kawasan Satok, Semarak dan Sukma Ria bagi tahun 2021.  

Pengarah DBKU dalam kenyataan media yang dimuat naik di media sosial Facebook pada Rabu, memaklumkan pihaknya memgambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 di Sarawak yang masih membimbangkan. 

“Hal ini disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar dan akan memberi kesan kepada kebarangkalian untuk berlaku penularan semula COVID-19 sekaligus merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu Kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19 dengan mematuhi  Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan,” kata kenyataan itu.