MULU: Bandar Mini Mulu di bawah kawasan pentadbiran Daerah Kecil Mulu bakal dibangunkan oleh kerajaan Sarawak sekaligus merangsang pembangunan serta kemajuan dalam pelbagai aspek khususnya sektor pelancongan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri akan melakukan pelan induk bagi merealisasikan projek tersebut dalam masa terdekat.

Menurutnya, kerajaan Sarawak akan mengambil alih projek tersebut daripada kerajaan pusat untuk memastikan pembangunannya cepat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Kawasan Mulu ini merupakan kawasan pelancongan, jadi kita mesti menyediakan pelan induk bagi membangunkan Bandar Mini Mulu ini dengan cepat seperti menyediakan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan di sini,” katanya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mulu pada malam Selasa.