KUCHING: Sebanyak 202,722 permohonan Kenyalang Gold Card (KGC) diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 26 Mac 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteran Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 184,404 kad sudah dicetak.

“Manakala sebanyak 169,242 kad diagihkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB), ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi lain untuk diserahkan kepada pemilik kad masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pendaftaran Kenyalang Gold Card (KGC) kepada Liga Muslim India Kuching di sini, Selasa.

Menurut Fatimah, sebanyak 235 syarikat telah mendaftar untuk menjadi Rakan Strategik KGC setakat ini.

Tambah beliau lagi, jumlah tersebut dijangka terus meningkat dari masa ke semasa dan kementeriannya amat mengalu-alukan penglibatan semua pihak untuk menjadi rakan strategik pada masa akan datang.

“Bagi mereka yang berminat, borang permohonan untuk menjadi rakan strategik KCG juga boleh dimuat turun di laman web rasmi KWKPK,” katanya.