Thursday, August 18, 2022

Tambah nilai aset orang kampung

Secara Rawak

KUCHING: Kampung dan rumah panjang di negeri ini akan dibangunkan dengan infrastruktur asas lengkap, yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan di bawah Skim Pembesaran Kampung ini merangkumi penyediaan tapak untuk pembesaran kampung termasuk pembinaan jalan berturap, parit konkrit serta bekalan elektrik dan air.

“Ini adalah cara baru kita, yang secara langsung dan tidak langsung akan mentransformasikan keadaan hidup orang kampung,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di Menara Pelita, di sini semalam.

Beliau menambah, pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung ini juga akan meningkatkan nilai aset rakyat khususnya di luar bandar.

“Dalam hal ini, saya rasa apabila kita dapat menambah nilai aset orang kampung, jadi mereka tidak dikongkong dengan definisi kemiskinan.

“Kita akan terus membangunkan luar bandar dengan keadaan sedemikian… ini kerana kalau infrastruktur begitu, bermakna standard kehidupan adalah tinggi,” katanya.

Menurut Abang Johari, pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung menggunakan hasil pendapatan yang diperoleh oleh Kerajaan Sarawak, antaranya menerusi pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada Petronas.

“Sekarang kita ada dana, jadi hasrat kerajaan adalah untuk berkongsi manfaat daripada dana tersebut. “Sebab itu saya berani katakan semua kos pembinaan infrastruktur ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak untuk kumpulan sasar kita di kampung dan rumah panjang,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Abdullah Julaihi turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru