Tuesday, May 11, 2021

RM7 juta insentif promosi produk tani

Mesti baca

SIBU: Sebanyak RM7 juta diperuntukkan oleh kerajaan sebagai insentif pertanian kepada petani yang terlibat dalam mempromosikan produk dan aktiviti pertanian di bahagian ini pada tahun ini.

Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew berkata, beliau difahamkan oleh Jabatan Pertanian di sini, beberapa produk dan aktiviti pertanian yang dipromosikan seperti durian, cili, buah dabai, nanas, halia, kelapa, padi, perikanan, penternakan udang, pemeliharaan ayam dan itik dan lain-lain.

“Petani juga diberi insentif untuk memproses hasil pertanian untuk meningkatkan nilai tambahnya untuk eksport.

“Dana ini disalurkan dalam beberapa bentuk bantuan misalnya alatan pertanian dan sebagainya,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Pejabat Pegawai Pertanian Bahagian Sibu Badin Unor di sini.

Turut serta ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Daniel Bujal, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Wong Ching Yong.

Beliau turut menerima pelbagai aduan daripada petani dusun durian yang memaklumkan pokok durian pada tahun lalu tidak menghasilkan buah disebabkan serangga perosak.

“Terutamanya petani buah durian di kawasan Sungai Telian dan Bawang Assan, mereka mengadu tahun lalu pokok durian mereka tidak mengeluarkan buah. Saya memaklumkan kepada pihak Jabatan Pertanian mengenai perkara ini.

“Jabatan Pertanian memberitahu bahawa masalah ini telah mereka sedia maklum dengan penyaluran racun serangga perosak dan alat penyemburnya sekali. “Agihan bantuan ini akan disalurkan tidak lama lagi kepada mereka yang berkenaan,” ujar beliau.

Sementara itu Lau berkata, sektor pertanian dilihat mampu menjana pendapatan kepada penduduk luar bandar. Katanya, dengan bantuan serta dana yang diperuntukkan oleh kerajaan, ia sedikit banyak dapat membantu petani yang menjalankan sektor ini secara komersial.

Secara Rawak

Artikel Terbaru