KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam kenyataannya berkata, pihaknya giat melaksanakan pelbagai projek sejak 2019, memastikan Pulau Bruit mempunyai prasarana bekalan air bersih lebih baik.

Menurut JBALB, isu bekalan air yang membelenggu penduduk di Pulau Bruit dapat diselesaikan dengan siapnya projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kelak.

Hal ini menjadi perhatian Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan JBALB serta Lembaga Air Sibu (LAS).

Antara projek yang dijalankan dan dibiayai Kerajaan Sarawak ialah Projek Bekalan Air Akut, Projek Cadangan Pengambilan Air Sungai Langsung 20MLD untuk Bekalan Air Tanjung Manis, Program Bekalan Grid Air, Naik Taraf Kawasan Bekalan Air ke Kawasan Tanjung Manis.

Kesemua projek menelan kos lebih RM100 juta ini
mampu memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar Pulau Bruit merangkumi 13 kampung; Kampung Bruit, Kampung Tekajong, Kampung Salah Kecil, Kampung Penipah, Kampung Semop, Kampung Saai, Kampung Kut, Kampung Sebako, Kampung Sedi/ Mesir, Kampung Betanak, Kampung Penibong, Kampung Penuai dan RH Juing.

Buat masa ini, JBALB turut menyediakan Pusat Pengumpulan Air Berpusat di kawasan strategik dan kritikal di Pulau Bruit bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih sementara menunggu projek disiapkan sepenuhnya nanti.