Persatuan Prihatin Pembangunan Insan, Kuching menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sungai Midin, Semerah Padi yang berlangsung di Surau Darul Nur Dini, Sungai Midin, baru-baru ini.

Menurut Pengerusinya Maliah Adenan, sumbangan yang disampaikan merupakan barang makanan dan diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa-mangsa berkenaan lebih-lebih lagi akan menghadapi Ramadan tidak berapa lama lagi.

“Pihak persatuan amat berharap agar semua pihak khususnya Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain dapat turut membantu golongan yang kurang bernasib baik. Dengan itu nanti, kita boleh memupuk nilai kesedaran kepada masyarakat sekitar agar sentiasa prihatin terhadap mereka yang memerlukan.”

Tambahnya lagi, persatuan mereka terdahulu telah menyampaikan lima puluh kotak kurma kepada 50 isi rumah terpilih daripada Kampung Semerah Padi, Kampung Semariang Batu, Kampung Semariang Lama dan Kampung Semariang Jalan Temenggong Gobil.

“Saya mewakili persatuan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat ADUN N.8 Satok kerana telah memberi sokongan kepada persatuan kami menerusi dana bagi membolehkan banyak kegiatan dilaksanakan demi pembangunan serta kebajikan masyarakat di sekitar bandar raya Kuching khususnya.”

Maliah menjelaskan lagi, selain sumbangan Masyarakat Prihatin bagi keperluan Ramadan, terdapat juga Program Sumbangan Prihatin Raya yang dirancang pada Ramadan nanti untuk mengagihkan minuman kordial dan biskut kepada beberapa kampung di sekitar Kuching.

Dalam pada itu, persatuan berkenaan turut merancang untuk mengadakan beberapa pertandingan iaitu Sayembara Hebat Berucap, Sayembara Deklamasi dan Sayembara Bakat Si Kecil, selain program motivasi iaitu Bengkel Berminda Hebat dan Bengkel Tampil Hebat, yang tertakluk kepada keadaan semasa kes Covid-19 di Sarawak.

Bagi yang ingin mendapatkan keterangan selanjutnya berkenaan program kemasyarakatan, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk berhubung terus dengan Setiausaha iaitu Mohamad Musa Bujang di talian 014-3716539 pada waktu bekerja sahaja.