ASAJAYA: Kemudahan gelanggang futsal, dewan serbaguna dan padang bola sepak di setiap kampung memberi manfaat kepada belia-belia di sini untuk terus menyerlah dalam bidang sukan. Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemudahan tersebut diharap dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti sukan dan sosial.

“Untuk menjadi insan yang berjaya dalam kerjaya bermula daripada aktiviti sosial yang sihat. “Oleh itu, belia harus mengambil peluang dengan memanfaatkan setiap kemudahan yang ada untuk melakukan aktiviti sukan sekali gus memberi kebaikan kepada kesihatan fizikal dan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Karnival Futsal 2021 di Kompleks Sukan Asajaya, semalam. Tambah beliau, sukan futsal amat diminati golongan belia di kawasan Asajaya dan ia terbukti apabila karnival sukan tersebut mendapat sambutan menggalakkan.

Abdul Karim berharap banyak lagi kejohanan sukan seperti itu diadakan selepas penularan wabak Covid-19 reda. Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang karnival iaitu pasukan EFT FC bagi kategori lelaki dan pasukan Tidal Bore bagi kategori wanita.

Sebanyak 40 pasukan lelaki dan sepuluh pasukan wanita berentap dalam Karnival Futsal 2021 yang berakhir semalam. Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak Datuk Posa Majais, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan Awang Abdul Rahman Awang Amit dan Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmad.