KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi Dun pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) akan datang, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Katanya, pendirian GPS tetap tidak berubah walaupun keputusan diserahkan kepada GPS untuk menentukan sama ada membenarkan atau tidak calon daripada Perikatan Nasional (PN) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding.

“Sudah banyak kali dikatakan bahawa GPS akan bertanding di semua 82 kerusi,” katanya dalam catatan Facebook. Kui Hian yang juga Adun Batu Kawah menyatakan demikian susulan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa lawatan dua hari ke Sarawak baru-baru ini bahawa Bersatu menyerahkannya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memutuskan sama ada calon Bersatu akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

GPS merangkumi empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan SUPP.

Dengan Bersatu menyatakan komitmen mereka untuk membantu GPS pada PRN-12, persoalan yang timbul sekarang adakah GPS akan menerima calon Bersatu untuk bertanding baik dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU). Buat masa ini, Bersatu mempunyai dua ahli parlimen dari Sarawak iaitu Ali Biju (Krian) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).