KUCHING: Seramai 22 individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditangkap menerusi Ops Tapis yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata tangkapan dilakukan hasil operasi bersepadu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada empat kawasan sasaran di daerah Kuching.

Menurutnya, operasi terbabit turut berjaya merampas dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM2,773 secara keseluruhan.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun di Santubong pada jam 10.20 pagi bersama 30 peket plastik lut sinar berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 19.67 gram.

“Tangkapan kedua di Petrajaya pada jam 10.15 pagi terhadap seorang lelaki dengan rampasan lapan peket plastik lut sinar dan 13 tiub straw berisi dadah Methamphetamine serta empat peket strip silver berisi lapan biji pil Eramin 5.

“Manakala 16 lelaki dan empat wanita berumur lingkungan 15 hingga 45 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan di sekitar kampung Bintawa dan Santubong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.