LONDON: Jason Harvey, 50, dari Romford, England, didenda AS$3,800 (RM15,700) setelah pihak bandar raya di tempat tinggalnya di timur London menerima 150 aduan jiran-jirannya berkaitan pesta karaoke yang diadakan setiap malam Sabtu di rumahnya.

“Ia umpama mimpi buruk,” kata seorang jirannya.

“Pesta itu amat bising dan nyanyiannya sangat menyakitkan telinga.”

Pegawai bandar raya memberitahu akhbar Evening Standard, mereka menerima aduan spesifik tentang suara sumbang Harvey ketika menyanyikan lagu “Sultans of Swing” nyanyian Dire Straits dan lagu Kenny Rogers serta Dolly Parton iaitu “Islands in the Stream.”

Harvey mengatakan dia akan membuat rayuan membatalkan denda tersebut.

Dia turut mempertahankan suaranya: “Saya mengakui saya bukan penyanyi, tetapi saya tetap berusaha.”