Sunday, July 3, 2022

Berdoa dalam talian

Secara Rawak

KUCHING: Sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Sarawak terus mencatatkan peningkatan jumlah kes Covid-19, Uskup Agung Simon Poh (gambar) mengarahkan semua penganut Gereja Roman Katolik (RC) yang tidak dapat menghadiri upacara sembahyang dan aktivitiaktiviti di gereja untuk berdoa dari rumah.

“Oleh kerana ramai yang tidak dapat hadir ke gereja, saya mengajak anda untuk terus berdoa dalam talian. Jangan hanya berdiam diri menjadi penonton tetapi berdoalah bersama-sama orang ramai.

“Anda mungkin bersama-sama keluarga sendiri di rumah tetapi anda tidak bersendirian ketika berdoa dalam talian kerana ribuan umat Katolik juga berdoa dalam soladiriti dengan anda,” katanya.

Simon Poh menggesa supaya semua penganut RC bersatu kerana satu gereja memanggil Tuhan dan Bapa yang sama, yang sentiasa mendengar doa anakanak kesayangannya.

Menurutnya, Hari Paskah atau Easter merayakan penderitaan, kematian dan kebangkitan Yesus Kristus, dan menandakan berakhirnya Prapaskah dan Minggu Suci.

“Inilah saat yang perlu dilakukan keluarga untuk mempercayai Yesus dan menyambutnya di bawah bumbung rumah mereka dengan hati yang percaya dan terbuka.

“Oleh itu, bagi pihak Gereja Katolik di Sarawak, Uskup Joseph Hii dari Sibu, Uskup Richard Ng dari Miri, Uskup Agung Kuching, Emeriti Peter Chung dan John Ha, imam, Diakon, saudara seagama, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Paskah.

“Sebagai ketua Persatuan Gereja (ACS) di Sarawak, bersama-sama dengan pemimpin gereja ACS lain, saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan salam, damai dan berkat Paskah kepada semua umat Kristian,” tambahnya.

Sementara itu, Simon Poh mengatakan bahawa semasa Minggu Suci, sekitar 70,000 umat Katolik menyertai doa dalam talian.

“Kuching berada di zon merah bererti gereja di sini hanya dapat dihadiri oleh 20 orang (pemimpin gereja). “Tetapi dengan dengan kelebihan teknologi terkini, kita juga boleh menjangkakan mereka yang tidak dapat hadir ke gereja juga dapat berdoa,” menurutnya.

Gereja-gereja yang berada dalam zon merah dan jingga tidak dibenarkan dibuka bagi mengekang penularan Covid-19. Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) membenarkan pembukaan gereja dalam Minggu Suci mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Ia merupakan usaha kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 daripada terus mencatat peningkatan kes saban hari.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru