Tuesday, July 27, 2021

Apa orang Sarawak tak dapat jadi Perdana Menteri?

Mesti baca

SIAPA agaknya bakal menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti? Atau soalan ini perlu ditanya dalam bentuk lain? Siapa yang paling layak menjadi PM nanti?

Ini soalan penting dan kebetulan banyak diperkatakan kebelakangan ini. Ya, persoalannya, siapa yang layak jadi PM?

Sejak selepas PU-15, PM tidak lagi datang daripada parti yang dominan atau punya paling banyak kerusi Parlimen seperti sebelumnya.

Untuk sekitar 60 tahun, jawatan PM secara tradisi disandang Presiden Umno kerana parti itu tulang belakang gabungan parti pemerintah di bawah BN.

Namun, selepas PH menang pada Mei 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan jadi PM walaupun ketika itu Bersatu pimpinannya hanya mempunyai 13 kerusi. Itu sesuai persetujuan PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu menjelang PRU-14.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hanya menjadi Timbalan PM. Semua pemimpin parti komponen PH bagai terlalu terpukau dengan Dr Mahathir, termasuk pemimpin PKR sehingga akhirnya Datuk Seri Anwar sendiri kempunan atau menggigit jari.
Tetapi, terus terang, pencapaian bekas pemimpin Umno yang pernah menjadi PM selama 22 tahun itu tidaklah secemerlang seperti diharapkan.

Malah, ia amat mengecewakan. Dr Mahathir sudah hilang sentuhan emasnya dalam tempoh 22 bulan PH memerintah.

Selepas PH tumbang pada Februari 2020, sekali lagi pemimpin Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kurang jumlah kerusi berbanding Umno, menjadi PM. Umno yang sebelumnya menjadi pembangkang, dan kemudiannya bersetuju menubuhkan kerajaan bersama-sama Bersatu, bagai tidak dapat berbuat apa-apa.

Selepas Muhyiddin menjadi PM, beliau mengambil tindakan drastik dengan tidak melantik Timbalan PM, sebaliknya melantik empat menteri kanan daripada Umno, Bersatu, dan GPS.

Empat menteri kanan berkenaan bertanggungjawab membantu PM menyelaras hal ehwal Kabinet berkaitan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Muhyiddin Yassin

Menteri-menteri kanan juga membantu PM menjalankan tugas sebagai PM termasuklah mempengerusikan mesyuarat Kabinet ketika waktu ketiadaan Muhyiddin dalam negara.

Kalau ditanya Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah siapa yang paling layak menjadi PM, tentu beliau menjawab bahawa beliau yang paling layak menduduki jawatan itu.

Memang, Tengku Razaleigh pernah menyimpan angan-angan untuk menjadi PM, malah sudah hampir ke jawatan itu apabila tewas di tangan Dr Mahathir merebut jawatan Presiden hanya dengan 43 undi dalam pemilihan dramatik Umno pada 1987.

Pemimpin yang mulai bertanding pada 1974 itu mengakui meskipun hasrat itu mungkin tidak mendapat sokongan partinya, namun bekas Menteri Kewangan berusia 84 tahun itu berpendapat beliau memiliki semua yang diperlukan untuk memegang jawatan tersebut. Ini memang tidak dapat dipertikaikan.

Tengku Razaleigh seperti ditemu bual sebuah protal mendakwa Muhyiddin tidak layak menjawat jawatan berkenaan. Mengulas tiga nama yang disebut-sebut sebagai PM, Ku Li melabelkan Muhyiddin sebagai “malas” dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula “tidak berkelayakan”.

Manakala bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ku Li mendakwa Anwar akan membuatkan “negara muflis dalam tiga hari.”

Saya tidak fikir beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li punya peluang menduduki jawatan itu.

Yang menarik, di tengah-tengah hangatnya isu mengenai PM, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim memberi gambaran bahawa tidak mustahil calon PM adalah dari Sarawak, memandangkan keutuhan kepemimpinan dan pentadbiran GPS di negeri berkenaan.

“Apa orang Sarawak tak dapat jadi Perdana Menteri? Kita tak boleh lihat Sarawak sebagai second class. Dia orang dapat jaga negeri dengan baik. Negeri stabil. Kita bagi Sarawak (jawatan PM).

Sekurang-kurang Sarawak tak bertanding di Semenanjung,” kata beliau dalam satu rancangan bicarawara Astro Awani beberapa hari lalu.

Ya, harus ada anjakan paradigma dari segi pemikiran politik. Pemimpin dari mana-mana negeri harus berpeluang untuk menjawat jawatan itu. Jawatan itu bukan hak mutlak parti Umno.

Lagipun, dalam dinamika dan landskap politik baharu, pemimpin parti dominan tak semestinya menjadi PM. Yang penting ialah pemimpin berkenaan mendapat sokongan parti komponen, dan punya karisma dan wibawa untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.
Yang penting, pemimpin berkenaan punya wawasan, keberanian, komitmen, integriti dan pengalaman untuk melonjakkan negara ke hadapan dari semua segi, terutama pendidikan, pelaburan asing, pembangunan dan ekonomi.

Namun, bagi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan jawatan PM hanya untuk parti itu. Beliau merupakan bintang baharu dalam Umno ketika Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibelenggu kes mahkamah sehingga dianggap liabiliti oleh puak tertentu dalam Umno.

Justeru bekas MB Negeri Sembilan itu berkata, Umno perlu menjadi parti induk bagi membolehkan mereka memimpin kerajaan bukannya setakat menjadi ‘anak ayam’.
Implikasinya, pemimpin dari Sarawak tidak layak menjadi PM seolah-olah jawatan itu hak mutlak Umno.

Kalaupun jawatan itu tidak sesuai diberi kepada pemimpin Sabah atau Sarawak, bagaimana kalau selepas PRU-15 nanti, jawatan Timbalan PM diberi kepada pemimpin dari Sarawak atau Sabah? Tentu ini bukan suatu permintaan yang melampau.

Kita perlu berani dan bersedia untuk membuat tawaran baharu, kerana Malaysia menjadi kenyataan 58 tahun lalu kerana kesediaan Sabah dan Sarawak untuk membentuknya.
Sementara itu, bagi PH, Presiden PKR, Anwar Ibrahim tetap menjadi pilihan utama sebagai calon PM dari PH.

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, sekiranya ada cadangan untuk menukar calon PM perkara itu mestilah dilakukan menerusi perbincangan Majlis Presiden PH.
Pada tahun lepas, Guan Eng pernah mencadangkan nama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon dalam usaha mereka mengambil alih kerajaan daripada PN.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh Majlis Presiden PH yang bertegas mahukan Anwar kekal sebagai calon PH gabungan tersebut.

Sesiapa pun calonnya, kita memerlukan calon PM yang mempunyai wibawa, karisma, wawasan dan komitmen untuk memacu negara ini ke hadapan dari semua segi, termasuk pembangunan, pelaburan langsung asing, pendidikan, ekonomi, dan sosial.

PM Malaysia selepas PRU-15 harus mampu membawa negara ini bangkit sebagai sebuah negara yang disegani di persada antarabangsa.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru