MOSCOW: Dalam insiden melucukan seekor anjing membuat kejutan apabila merampas mikrofon wartawan yang membuat liputan televisyen secara langsung.

Menurut Ary News, wartawan Nadezhda Serezhkina bertugas mengacara liputan langsung keadaan cuaca ketika anjing itu tiba-tiba muncul di hadapannya dan memerhati mikrofon yang dipegangnya.

Beberapa saat kemudian, anjing itu tiba-tiba melompat dan merampas mikrofon itu dari tangan Nadezhda.

Kejadian itu berlaku pantas menyebabkan semua krew televisyen terbabit termasuk Nadezhda, tergaman seketika.

Sebaik sahaja melihat anjing itu melarikan diri, Nadezhda mengejarnya dan aksi tersebut dirakam secara langsung oleh krew televisyen.

Video insiden ini tular di Twitter dan media sosial lain menyebabkan netizen ketawa dan geli hati melihat telatah kedua-duanya.

Netizen memberi pelbagai komen antaranya kemungkinan anjing itu memikirkan mikrofon itu ialah makanan.