KUCHING: Keliru mengenai kehendak dan keperluan sehingga sukar melunaskan segala hutang yang dibuat menjadikan ramai golongan muda terjerat dengan muflis.

Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching Mohd Irman Mohd Din berkata, tinjauan umum mendapati, ramai yang kurang jelas mengenai tanggungjawab membayar hutang khususnya golongan muda yang masih keliru antara kehendak dengan keperluan.

Justeru katanya, pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan perniagaan amat penting bagi mengelak daripada perangkap muflis.

Menurut Mohd Irman, terdapat tiga praktikal untuk mengelakkan diri terjerumus ke perangkap muflis iaitu melangsaikan hutang dan jangan membuat hutang baharu. Selain itu, katanya dengan menyenaraikan semua jenis hutang sedia ada, rancang pelan penyelesaian hutang dan berhenti daripada membuat hutang baharu.

“Sebaiknya cuba untuk selesaikan hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi dahulu dan kira jumlah yang perlu dibayar serta penjimatan faedah jika membuat bayaran penuh.

“Contoh mudah, hutang kad kredit dan pinjaman peribadi merupakan hutang yang biasanya dikenakan kadar faedah tinggi.

“Justeru, selesaikan dahulu hutang itu dan pastikan jangan culas membayar kerana caj penalti lewat bayar akan menambahkan lagi beban hutang,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau berkata, data laporan tahunan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) tahun 2019 menyatakan seramai 60.45 peratus (7,231 orang) yang berumur kurang daripada 44 tahun diisytiharkan muflis di Malaysia.

Mohd Irman turut menjelaskan, kesan diisytihar muflis boleh menyebabkan sekatan ke atas banyak aktiviti yang berkaitan kewangan seperti sekatan mendapatkan pinjaman, penggunaan kad kredit, sekatan akaun simpanan dan sebagainya.

“Muflis tidak bererti seseorang itu dikecualikan daripada membayar semua hutang mereka, muflis sewajarnya kita elakkan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, BNM menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu komuniti mengurus dan menjadualkan semula hutang mereka.

Katanya, individu yang tidak berjaya menguruskan hutang mereka dan memenuhi kriteria kelayakan asas AKPK boleh mendaftar di bawah Program Pengurusan Hutang (DMP) dan semua perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK percuma.