SUNGAI SIPUT: Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Sufian Hamdan optimis Pas akan tetap memperkukuhkan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan tidak akan berpisah dengan Umno.hmemandangkan ia bukan hanya hubungan antara pemimpin semata-mata tetapi di peringkat cawangan dan kampung.

Shahril menegaskan hubungan sedia ada yang terjalin  antara kedua-dua parti itu dilihat sudah kukuh, bukan sahaja dalam barisan pemimpin, tetapi juga di peringkat akar umbi.

“Hubungan yang sudah terjalin sampai ke bawah, ia bukan hanya hubungan antara pemimpin semata-mata tetapi di peringkat cawangan; kampung pun sudah ada semangat Muafakat Nasional.

“Yang mana saya rasa dalam Perikatan Nasional tidak mungkin berlaku kerana ia mendadak dan tidak dibina satu persatu sebagaimana dalam Muafakat Nasional,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

“Ada sedikit penjelasan dari Pas berhubung perkara itu semalam, yang mana mereka masih mahu mempertahankan Muafakat Nasional.

“Jadi itu satu isyarat yang bagi saya menunjukkan apa saja pendirian Pas tentang Bersatu dan PN, mereka tidak lagi ada hasrat untuk berpisah daripada Umno.

“Saya ambil tafsiran paling positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan kempen ‘Sambung Yang Tergendala’ di Sungai Siput pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Dalam pada itu, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata beliau menghormati pendirian Pas yang ketika ini mahu mempertahankan PN dan memperkukuhkan MN.