KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan untuk menyatukan persaudaraan dan kuasa politik umat Islam melangkaui kepentingan parti masing-masing dan bukan  bertujuan menjadikan mana-mana parti mendominasi satu sama lain.

Menurut  Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ia semata-mata untuk memperkasakan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, sekali gus memberi jaminan keselamatan dan kebajikan untuk rakyat minoritI.

Menurutnya, agenda MN menolak sebarang muafakat atau kerjasama dengan mana-mana golongan yang menolak Islam atau tidak mesra Islam seperti mana telah ditunjukkan oleh DAP dan PKR ketika mentadbir negara bersama PH.

Justeru, kata beliau slogan ‘No DAP, No PKR’ sentiasa dilaungkan dan dijadikan asas persefahaman.

Malah, jelasnya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat pada 2015 juga atas asas menolak agenda DAP dan PKR yang dilihat songsang tidak menguntungkan Islam.

“Inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS dalam tulisan terkini iaitu kerjasama mestilah berasaskan dua perkara; pertamanya dengan golongan yang tidak ekstrem dan keduanya dengan golongan bukan bersifat liberal,” katanya dalam satu kenyataan..

Beliau berkata, dalam meluruskan asas muafakat itulah Presiden PAS menegaskan kepentingan menjaga muafakat semua parti termasuk Umno dan PBBM.

“Bersama Umno dipertegaskan slogan perkukuhkan MN. Bersama PBBM pula dipertegaskan slogan mempertahankan PN yang PAS dan Umno juga menjadi sebahagian kerajaannya,” ujarnya.

Tamabhnya, tidak mungkin kerajaan yang ditubuhkan dan diuruskan bersama cuba diruntuhkan pula sehinggalah berlakunya pilihan raya umum seterusnya.

Katanya, dalam mendepani pelbagai isu rakyat dalam suasana pandemik Covid-19 dan kesuraman ekonomi, kesatuan dalam kalangan pemimpin sangat penting dan ia menjadi asas kestabilan kerajaan.